Hak Istemewa Dilema Baru Melayu
Dilema baru orang Melayu sekarang ialah sama ada mereka perlu terus bergantung kepada hak keistimewaan yang melindungi mereka untuk menjadi bangsa maju dan setanding bangsa lain, atau sebaliknya, kata Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.
Dengan menyamakan keistimewaan Melayu sekarang sebagai tongkat untuk golongan cacat, Perdana Menteri menegaskan, walaupun ada segelintir orang Melayu berani dan yakin untuk mencapai kemajuan tanpa bantuan tongkat itu, bilangannya amat kecil.
Dr Mahathir, pengarang buku Dilema Melayu yang mencetuskan kontroversi lebih 30 tahun lalu itu bagaimanapun berkata, jumlah golongan Melayu seumpama itu tidak akan meningkat dalam tempoh terdekat dan lebih malang lagi, mereka dianggap sebagai pembelot bangsa Melayu.
Berucap mengenai ‘Dilema Baru Melayu’ pada jamuan anjuran Kelab Harvard Malaysia, di Sunway Lagoon Resort di sini malam ini, beliau berkata golongan yang mahu melahirkan bangsa Melayu kuat, berdaya tahan dan berdikari tanpa ‘tongkat’ sering kali berakhir dengan tidak popular dan hilang keupayaan untuk membawa perubahan kepada sistem nilai serta budaya.
“Hari ini, kebanyakan orang Melayu bergantung kepada tongkat atau hak keistimewaan ini untuk melindungi mereka. Namun, hakikatnya, tongkat ini melemahkan penggunanya. Untuk menjadi kuat dan mampu menjaga diri, tongkat ini perlu dibuang.
“Malangnya, kebanyakan Melayu melihat keistimewaan ini sebagai simbol kekuatan bangsa Melayu di negara ini. Lebih menyedihkan apabila hak istimewa ini tidak digunakan sebaiknya. Akibatnya, mereka tidak memperoleh apa-apa atau terlalu sedikit daripada segala bantuan yang disediakan,” katanya.
Dr Mahathir menjelaskan, ketika beliau menulis buku Dilema Melayu, beliau mengandaikan semua orang Melayu kurang peluang untuk membangun dan berjaya.
Katanya, orang Melayu kurang peluang untuk mendapatkan ilmu, menceburi perniagaan, mengikuti latihan dalam bidang pekerjaan yang dikehendaki selain kurang peluang untuk mendapatkan pembiayaan, lesen dan premis.
“Saya mengandaikan orang Melayu akan menjadi bangsa yang berjaya jika semua peluang ini boleh mereka miliki. Lalu, saya beranggapan masalah ini dapat diselesaikan dengan tindakan afirmatif dan diskriminasi positif bersesuaian dengan kehendak mereka.
“Dasar Ekonomi Baru (DEB) diwujudkan dan orang Melayu serta Bumiputera lain diberi pelbagai peluang. Namun matlamat DEB tetap tidak dicapai berikutan sikap bangsa Melayu yang tidak mahu bekerja keras, tidak mahu mengambil risiko dan bersabar,” katanya.
Beliau berkata, sikap terlalu bergantung kepada bantuan akan menjadikan bangsa Melayu lemah dan ketinggalan serta tidak mampu bersaing dengan bangsa lain.
Bangsa Melayu mempunyai keupayaan untuk membina diri sendiri tanpa bantuan berkenaan dengan syarat mereka mengubah persepsi dan budaya yang tidak suka bekerja kuat, mengambil risiko serta bersabar.
Untuk berjaya, orang Melayu perlu sanggup bekerja keras dan mementingkan mutu untuk mencapai kecemerlangan dalam hidup.
“Mengubah budaya jauh lebih sukar daripada mengubah dasar kerajaan. Mudah untuk memberi cadangan tetapi susah untuk dilaksanakan. Kumpulan sasaran perlu mempunyai sikap yang betul jika mahu mendapat hasil yang baik.
“Bagaimanapun, mutu atau kecemerlangan tidak difahami sepenuhnya oleh orang Melayu. Akibatnya, hasil yang diperoleh bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan dan tanpa kebanggaan ini, mereka tiada keinginan untuk memperbaiki keadaan, tiada perkembangan positif,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kemunculan Pas yang mencipta atau menyalahgunakan isu berkaitan agama turut menjejaskan usaha untuk memperkasakan bangsa Melayu. Parti yang menggunakan nama Islam menyalahgunakan agama untuk menutup fikiran orang Melayu daripada perkara lain kecuali apa yang diajar ahli politik parti terbabit.
Beliau berkata, orang Melayu memang taat pada perintah agama tetapi tidak mempunyai cukup pengetahuan untuk membezakan apa yang mengikut syariat Islam dan apa yang tidak.
“Ketaatan pada agama satu keutamaan kepada orang Melayu. Malangnya, mereka menonjolkan ketaatan ini dengan kemunduran dan bukan ajaran sebenar al-Quran serta hadis Rasulullah,” katanya.
“Agama bukan satu perkara umum. Ia membabitkan kepercayaan keimanan. Sebarang pertelingkahan berdasarkan logik tidak akan menyelesaikan sebarang masalah yang timbul,” katanya sambil menambah Islam dapat melahirkan tamadun yang berjaya dan sejahtera.
Dr Mahathir juga berkata, dilema yang dihadapi orang Melayu dan seluruh rakyat Malaysia ialah sama ada mereka harus membiarkan negara dimusnahkan atas nama demokrasi atau memastikan tiada pihak yang boleh menggunakan demokrasi untuk memusnahkan demokrasi.
Sementara itu, ketika sesi dialog, Dr Mahathir menjawab beberapa soalan, termasuk mengenai hak keistimewaan orang Melayu, pendidikan agama di kalangan generasi muda dan budaya pendatang.
Mengenai hak keistimewaan orang Melayu, Dr Mahathir berkata, sebarang perubahan terhadap hak mereka perlu dilakukan secara perlahan-lahan.
“Jika terlalu cepat, ia akan menyebabkan orang Melayu ketinggalan,” katanya.
Menjawab soalan mengenai tindakannya dalam tempoh 16 bulan peralihan kuasa berhubung isu keistimewaan orang Melayu, beliau berkata, perkara itu adalah antara dilema yang dihadapinya.
“Enam belas bulan itu bukan masa yang lama. Jika saya pergi terlalu jauh, orang Melayu mungkin akan menolaknya,” katanya.
Mengenai pendidikan agama di kalangan generasi muda Melayu, Perdana Menteri berkata, mereka perlu diperkenalkan dengan pengertian sebenar mengenai Islam.
Artikel Dipetik Dari Akhbar Utusan Melayu 30 haribulan Julai 2002
|

 |