Isu Kemasukan 10 % Bukan Bumiputera Ke MRSM & Matrikulasi

ISU - ISU SEMASA

Status UiTM kekal
Oleh Misiah Taib


KUALA LUMPUR, Isnin: Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menegaskan kerajaan tidak akan membuka Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada semua kaum.

Perdana Menteri berkata, perkara itu tidak perlu dijadikan isu kerana kerajaan memang tidak pernah ada cadangan ke arah itu.

“Sekarang ini tidak ada cadangan,” katanya ketika diminta mengulas cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya pusat pengajian itu dibuka kepada semua kaum.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Serantau Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa (UNI) - Pejabat Rantau Asia Pasifik (APRO) Yang Pertama, di Hotel Istana di sini, hari ini.

Ditanya adakah kerajaan bertegas dalam hal itu (untuk tidak membuka UiTM kepada bukan Bumiputera), beliau berkata;

“Tak tahulah...Saya tak tahu bila kerajaan tegas atau tidak tegas. Anda seharusnya boleh membuat penilaian sendiri,” kata beliau.

Sebelum ini NUTP mencadangkan supaya institusi pengajian khas untuk Bumiputera seperti UiTM dibuka kepada semua kaum dengan penetapan kuota tertentu.

Presidennya, Tengku Habsah Tengku Petra, berkata sistem pendidikan negara perlu berubah selaras perubahan masa dan pembangunan ekonomi bagi menjamin pelajar, terutama Bumiputera mampu berdaya saing.

Semalam, Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Ibrahim Abu Shah, menolak saranan NUTP dan meminta kesatuan itu supaya tidak mengganggu urusan UiTM.

Sambil menegaskan UiTM tidak akan berkompromi dalam soal itu, beliau berkata, status universiti itu sebagai satu-satunya institusi pengajian tinggi yang dikhaskan untuk Bumiputera perlu dikekalkan bagi menjamin keseimbangan dengan pembabitan golongan itu dalam bidang ekonomi dan sosial berbanding bangsa lain.

Katanya, cadangan NUTP itu tidak perlu kerana pelajar UiTM mampu berdaya saing tinggi walaupun tanpa kehadiran pelajar bukan Bumiputera dan hakikat itu terbukti dengan kejayaan graduan universiti itu menceburi pelbagai bidang profesional selepas tamat pengajian.

“Jangan kacau UiTM. Pengurusan UiTM tidak akan bersetuju dengan cadangan itu. Pemilihan pelajar UiTM juga berdasarkan sistem meritokrasi yang mana hanya pemohon dengan pencapaian akademik cemerlang saja diterima,” katanya.

Akta UiTM 2000 jelas menyatakan institut pendidikan tinggi itu ditubuhkan untuk Bumiputera dengan merujuk kepada Perkara 153 perlembagaan negara mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Tengku Habsah ketika dihubungi hari ini berkata beliau tidak akan membuat sebarang kenyataan balas berhubung reaksi Dr Ibrahim menolak saranan kesatuan itu agar pusat pengajian itu dibuka kepada semua kaum.

Tengku Habsah enggan mengulas lebih lanjut, sebaliknya berkata: “Saya akan biarkan perkara itu begitu saja”.

Sementara itu alumni UiTM yang juga ahli lembaga Pengarah universiti itu, Datuk Salleh Majid ketika dihubungi berkata, institusi pengajian tinggi itu tidak wajar dibuka kepada kaum lain memandangkan jumlah pelajar bukan Bumiputera di pusat pengajian tinggi tempatan dan di luar negara jauh lebih besar daripada pelajar Bumiputera.

“Penubuhan UiTM itu sendiri adalah khas untuk pelajar Bumiputera di mana jumlah mereka jauh lebih kecil jika dibandingkan jumlah sebenar pelajar bukan Bumiputera. Dasar ini perlu dikekalkan kepada Bumiputera saja,” katanya.

Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) itu bagaimanapun berkata, jika kerajaan benar-benar mahu mewujudkan daya saing di antara pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera dalam pendidikan, pelaksanaan persaingan itu perlu dibuat di peringkat sekolah rendah sama ada melalui sistem pendidikan satu aliran atau konsep Sekolah Wawasan.

Peluang Kerja Swasta Kepada Bumiputera
Kaum lain diminta adil beri peluang kerja swasta kepada Bumiputera


KUALA LUMPUR, Isnin: Keputusan Kabinet memberi peluang kepada pelajar bukan Bumiputera ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dapat mempercepatkan proses integrasi kaum melalui interaksi antara pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Bagaimanapun, pelaksanaan dasar terbuka melalui kuota 10 peratus kepada kaum lain itu hendaklah dituruti kaum lain dengan membuka peluang yang sama kepada orang Melayu dari segi peluang kerjaya di sektor swasta.

Ahli Majlis Tertinggi Umno (MT) yang juga ahli Jawatankuasa Majlis Perundangan Ekonomi Negara (Mapen II), Dr Noraesah Ahmad, berkata tidak rasional jika keputusan membuka MRSM kepada kaum lain dibuat hanya kerana mahu mewujudkan daya saing pelajar Melayu kerana mereka yang diterima masuk ke MRSM sememangnya cemerlang.

“Melalui keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pelajar MRSM, jelas pelajar ini sememangnya cemerlang dalam akademik jadi soal mewujudkan daya saing memang tidak wajar.

“Jika keputusan itu dibuat bagi tujuan integrasi kaum, alasan itu sememangnya boleh diterima,” katanya ketika menghubungi Berita Harian, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, Kabinet akan memperuntukkan kuota 10 peratus kepada bukan Bumiputera bagi mengikuti Kursus Matrikulasi dan MRSM.

Dr Mahathir berkata, kerajaan membuka program itu kepada pelajar bukan Bumiputera bertujuan mendedahkan pelajar Bumiputera kepada keadaan hidup sebenar dalam masyarakat pelbagai kaum.

Pada pertemuannya dengan Exco Pergerakan Pemuda Umno, Jumaat lalu, beliau berkata, pelajar Bumiputera tidak boleh terus mengharap hak keistimewaan orang Melayu dalam bidang pendidikan, sebaliknya menerima hakikat mereka perlu bersaing.

Sebelum itu Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu mendakwa pemilihan pelajar ke IPTA berasaskan sistem merit memberi kelebihan kepada pelajar Bumiputera hingga menyebabkan kemerosotan peratusan kemasukan jumlah pelajar bukan Bumiputera, terutama pelajar India.

Noraesah yang Pengerusi Exco Ekonomi Pergerakan Wanita Umno berkata, kerajaan perlu kajian teliti keputusan membuka program Kursus Matrikulasi dan MRSM kepada kaum lain dengan meletakkan syarat lebih ketat dari segi kemasukannya.

“Mereka yang layak masuk mesti pelajar Cina dan India dari sekolah jenis kebangsaan yang selama ini tidak berpeluang mendekatkan diri dengan masyarakat Melayu.

“Pelajar kaum lain yang dipilih mesti diberi keutamaan dari mereka yang datang dari kawasan luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan pembelajaran mencukupi,” katanya.

Beliau berkata, perlu ada toleransi antara kaum, yang jika dilihat secara objektif, realiti kebanyakan majikan kaum lain terutama di sektor swasta mengamalkan dasar tertutup terhadap orang Melayu.

“Apa yang jelas dalam iklan tawaran kerja di akhbar kebanyakan majikan di kebanyakan syarikat swasta seolah-olah membuat satu dasar dengan meletakkan pelbagai syarat seperti hanya mereka yang mahir bahasa Mandarin serta dialek Tionghua diberi keutamaan menjawat jawatan di syarikat mereka,” katanya.

Kesatuan Sokong UiTM Buat Bumiputera
Kesatuan sokong UiTM kekal untuk Bumiputera saja


KUALA LUMPUR, Isnin: Kesatuan guru dan institusi pengajian tinggi (IPT) menyokong pendirian tegas Universiti Teknologi Mara (UiTM) menolak cadangan supaya institusi itu dibuka kepada semua kaum bagi menjamin kecemerlangan pelajar Bumiputera pada masa depan.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Prof Madya Dr Abdul Rahman Daud, berkata pihaknya menyokong kenyataan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Ibrahim Abu Shah, supaya Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tidak mencampuri urusan universiti itu.

Beliau berkata, Dr Ibrahim mempunyai kuasa penuh dan berhak menolak campur tangan NUTP yang tidak sepatutnya mencampuri urusan universiti.

“Kuasa NUTP hanya terhad pada peringkat sekolah, justeru, saya menyeru kesatuan guru lain untuk tidak mencampuri urusan mana-mana institusi pengajian tinggi,” katanya mengulas cadangan NUTP supaya institusi pendidikan khas Bumiputera seperti UiTM dibuka kepada semua kaum dengan penetapan kuota tertentu.

Presiden NUTP, Tengku Habsah Tengku Petra mencadangkannya atas alasan sistem pendidikan negara perlu berubah selaras perubahan masa dan ekonomi serta bagi menjamin daya saing penuntut Bumiputera.

Akta UiTM 2000 adalah pindaan Akta ITM 1976 yang menyatakan penubuhan universiti itu tertakluk kepada peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 153 menyentuh kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak. Tanggungjawab memelihara keistimewaan kumpulan Bumiputera itu terletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Dasar UiTM sejak penubuhannya hampir 46 tahun lalu iaitu eksklusif kepada pelajar Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak saja dikekalkan semasa Akta UiTM diluluskan Parlimen dua tahun lalu.

Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad, turut menegaskan kerajaan tidak akan mengubah dasar kemasukan ke UiTM yang hanya untuk Bumiputera.

Katanya, sekiranya cadangan (membuka kuota bukan Bumiputera di UiTM dibuat), ia perlu dirujuk menerusi akta penubuhan universiti itu.

Beliau yang turut menyifatkan cadangan NUTP itu tidak masuk akal, berkata, sebarang perubahan kepada dasar kemasukan UiTM perlu melalui proses undang-undang terlebih dulu dengan mendapat kelulusan Parlimen.

Di ALOR STAR, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Ahmad Fawzi Mohd Basri berkata, sebagai institusi pengajian tinggi tunggal untuk Bumiputera, penubuhan UiTM masih mengikut dasarnya dan tidak melanggar matlamat penubuhan.

Beliau berkata, walaupun institusi itu berjaya melahirkan ribuan pelajar Bumiputera cemerlang dalam pelbagai bidang sejak sekian lama, namun jumlah itu masih kecil berbanding pelajar bukan Bumiputera di IPTA dan IPTS dalam dan luar negara.

Oleh itu, katanya, status UiTM sebagai pusat pengajian khas untuk Bumiputera perlu dikekalkan.

Ahmad Fawzi meminta NUTP tidak mengambil kesempatan atas sikap toleransi kerajaan dan bukannya mencari publisiti sehingga merugikan bangsa sendiri.

"Sepatutnya kita perlu membantu menambah lebih ramai Bumiputera melanjutkan pengajian seperti di IPTS supaya lebih berdaya saing dan memberi peluang kepada pelajar bukan Bumiputera berinteraksi dengan rakan daripada kaum lain.

Sementara itu, Pengerusi DAP, Lim Kit Siang menyifatkan keputusan Dr Ibrahim itu sebagai tidak logik serta tidak mencerminkan kebolehannya dan sikap profesionalisme.

Katanya, dakwaan Dr Ibrahim bahawa pelajar UiTM selama ini boleh bersaing di universiti tempatan dan luar negara ketika menyambung pelajaran sepatutnya menjadi sebab utama universiti berkenaan wajar membuka ruangnya kepada kaum lain.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataannya di sini, sebagai mengulas reaksi Dr Ibrahim terhadap cadangan NUTP itu.

Kit Siang berkata, sekiranya UiTM terus mengamalkan dasar tertutup kepada kaum lain, dasar itu akan mengakibatkan pelajar Bumiputera tidak bersedia menghadapi persaingan apabila semua dasar terbuka kepada semua kaum dilaksanakan di semua universiti.

Kesatuan Guru & NGO Bantah Kuota 10 Peratus
KUALA LUMPUR 1 Jun - Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kesatuan guru hari ini membantah keputusan kerajaan membenarkan bukan bumiputera mengikuti Program Matrikulasi dan memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mulai tahun depan.


Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Suhaimi Ibrahim berkata, keputusan itu perlu dikaji semula kerana ia bercanggah dengan dasar kerajaan untuk melahirkan lebih ramai pelajar bumiputera yang berkelayakan untuk memasuki universiti.


Menurut beliau, pihaknya bimbang kemasukan pelajar bukan bumiputera ke Program Matrikulasi akan menyebabkan jumlah pelajar bumiputera yang layak mengikuti kursus kritikal terus menurun.


``Kalau jumlah pelajar bumiputera di bawah program matrikulasi dikurangkan mulai tahun depan, saya khuatir keadaan lebih teruk akan berlaku,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.


Beliau mengulas keputusan Kabinet Rabu lalu yang bersetuju membuka Program Matrikulasi dan MRSM kepada pelajar bukan bumiputera dengan peruntukan kuota sebanyak 10 peratus bermula tahun depan.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Azam Abdul Rahman berkata, langkah membuka pintu kepada bukan bumiputera untuk memasuki Program Matrikulasi dan MRSM boleh menimbulkan krisis keyakinan kaum bumiputera khususnya orang Melayu terhadap kerajaan.

``Dasar baru ini tidak menyentuh langsung mengenai cara-cara menyelesaikan masalah berkurangnya kaum bumiputera memasuki Kolej Tunku Abdul Rahman, institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan universiti luar negara,'' jelasnya.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan (Kongres), Hadi Awang Mohamad pula bimbang keputusan itu akan menyebabkan pelajar bumiputera yang cemerlang dalam peperiksaan terpaksa dipinggirkan berikutan kuota yang ditetapkan kepada bukan bumiputera.


Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Khairul Ariffin Mohd. Munir berkata, keputusan itu juga telah meningkatkan lagi kebimbangan bumiputera terhadap nasib kaum mereka di masa depan.

Ini kerana, katanya, langkah itu akan menyebabkan jumlah pelajar bumiputera di pusat pengajian tinggi terus me

Dasar buka pintu MRSM kepada semua kaum bukan polisi baru
Jangan jadikan isu - PM -- Dasar buka pintu MRSM kepada semua kaum bukan polisi baru
Oleh:ASUKI ABAS
PUCHONG 1 Jun - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, dasar membuka pintu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kepada semua kaum tidak harus dijadikan isu kerana ia bukan polisi baru.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sebelum ini telah membenarkan dasar itu dilaksanakan tetapi telah dihentikan oleh pihak-pihak tertentu dengan tujuan yang tidak diketahui.

``Tidak mengapalah, berilah dia (kaum bukan Melayu) masuk (ke MRSM).

``Dulu kita sudah lama membenarkan mereka masuk tetapi siapa yang arahkan supaya ia dihentikan, kita pun tidak tahu,'' katanya.

Perdana Menteri bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis perkahwinan Zalindawati Ismail dan Mohd. Rizal Idris di Taman Puchong Intan di sini hari ini.

Zalindawati merupakan anak ketiga kepada pengawal peribadi Perdana Menteri, Ismail Manaf.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai keputusan kerajaan memperuntukkan kuota sebanyak 10 peratus kepada semua kaum mulai tahun hadapan bagi kemasukan pelajar ke MRSM.

Dasar baru kerajaan itu, yang turut memberi kuota 10 peratus dalam Program Matrikulasi kepada bukan bumiputera adalah bagi membolehkan pelajar bumiputera mempunyai daya saing dengan kaum lain.

Berdasarkan kenyataan Majlis Amanah Rakyat (Mara), kemasukan pelajar bukan bumiputera ke MRSM tidak mengejutkan kerana maktab itu pernah mengambil pelajar berkenaan sejak ditubuhkan pada tahun 1972 walaupun tiada kuota khusus ditetapkan untuk mereka.

Dasar itu dikatakan tidak akan menjejaskan sama sekali peluang pelajar bumiputera memasuki MRSM dan tidak bercanggah dengan Akta Mara 1966.


Mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa usaha menyatukan kaum harus dimulakan di sekolah kebangsaan Cina dan Tamil, Dr. Mahathir berkata, integrasi sudah sedia ada di sekolah-sekolah tersebut kerana terdapat banyak pelajar Melayu yang sedang belajar di sekolah-sekolah itu.

``Sekolah Cina pun banyak pelajar Melayu pergi, tidak perlu memaksa apa-apa pun dia sudah memasukinya,'' kata Dr. Mahathir.

Menurut Perdana Menteri, dakwaan bahawa sekolah vernakular merupakan penentang integrasi antara kaum seperti yang dianjurkan oleh Sekolah Wawasan adalah tidak benar kerana hanya segelintir kecil sahaja yang menentangnya.

``Mereka yang menolak (Sekolah Wawasan) merupakan satu kumpulan sahaja, bukan semua. Mereka ini adalah golongan pelampau,'' kata Perdana Menteri.


Sekolah Wawasan yang bertujuan menempatkan tiga jenis sekolah - SRJK (Cina), SRJK (Tamil) dan Sekolah Kebangsaan - dalam satu kompleks yang berkongsi kemudahan dan kawasan, telah mendapat tentangan daripada Guru-Guru Sekolah Cina Bersatu Malaysia atau ``Dong Jiao Zong'' sebelum ini.

Sementara itu, Dr. Mahathir dan isteri Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali turut merenjis air mawar kepada pasangan pengantin yang kedua-duanya bertugas di Arab Malaysian Bank Bhd.